Sudah bersediakah anda ketika dipanggil oleh Allah S.W.T?
Bersihkan lah dirimu sebelum kamu dimandikan,
Berwudhu'lah sebelum kamu diwudhu'kan,
Bersolatlah sebelum kamu disolatkan,
Tutuplah aurat sebelum auratmu ditutupkan,
Dengan kain kafan yang serba putih,
Tiada guna lagi sedih pada waktu itu,
Walaupun yang hadir itu merintih.
Selepas itu diletaknya di atas lantai,
Lalu dilaksanakan solat jenazah,
Dengan empat takbir dan satu salam,
Berserta Fatihah, selawat dan doa,
Sebagai memenuhi tuntutan kifayah.
Tapi apakah empat takbir itu dapat menebus,
Segala dosa tinggalkan solat tatkala hidup?
Apakah solat tanpa rukuk dan sujud itu,
Dapat membayar hutang rukuk dan sujud yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian,
Justeru ku menyeru saudaraku sekalian,
Usunglah dirimu ke tikar solat,
Sebelum diusung ke liang lahad,
Menjadi makanan, cacing dan ulat.
Iringilah dirimu ke masjid,
Sebelum kamu diiringi ke pusara,
Tangisilah dosa-dosamu di dunia,
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'.
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan,
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan,
Dengan panggilan Izrail yang menakutkan!
Berimanlah kamu sebelkum ditalkinkan,
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal,
Bukan yang pergi.
Beristighfarlah kamu sebelum diistighfarkan,
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan.
Ingatlah di mana sahaja kamu berada,
Kamu tetap memijak bumi Tuhan,
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan,
Serta menikmati rezeki Tuhan,
Justeru bila Dia menyeru,
Sambutlah seruan-Nya sebelum Dia memanggilmu,
Ingatlah kamu, hamba-Nya yang hina.
Dari air mani,
Menjadi segumpal darah,
Menjadi seketul daging,
Lalu daging itu membaluti tulang,
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti.
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu,
Unsur tanah, pijakan ramai,
Jijik ada yang kata, kotor ramai yang rasa,
Tetapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu,
Yang lebih agung dari malaikat.
Lahirmu bukan untuk dunia,
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat.
Sambutlah seruan "Hayya 'alas Solah"
Denga penuh rela dan bersedia,
Sambutlah seruan"Hayya 'alal Falah"
Jalan kemenangan dunia dan akhirat.
Ingatlah yang kekal adalah amal,
Menjadi bekal sepanjang jalan,
Menjadi teman di perjalanan,
Untuk kembali ke pangkuan Tuhan.
Pada hari itu tiada gunanya,
Harta, takhta dan putera,
Isteri, wang dan kereta,
Rumah, saham dan niaga,
Kalau dahi tak mencecah tanah di dunia.
Courtesy of Surau Hospital Ampang PutriSebagai peringatan bukan sahaja kepada semua pembaca, juga untuk diri penulis yang lemah ini. Saya teringat kata-kata seorang rakan, "Semoga panjang umur, mati tak mengenal umur". Memang betul katanya. Segalanya mengikut ketetapan Allah s.w.t. Mungkin hari ini kita masih sihat, esoknya kita sudah tiada. Sesungguhnya dunia ini hanya sementara dan akhirat jua pengakhirannya. Harap agar menjadi pengajaran buat semua.